Senin, 12 November 2007

Fwd: Wadah Wanita Islam: Surah an-Nur perjelas hidup bermasyarakat



--- In hidayahnet@yahoogroups.com, "Islah Gateway" <islahgateway@...>
wrote:

Wadah Wanita Islam: Surah an-Nur perjelas hidup bermasyarakat
Oleh Prof Madya Maznah Daud



SURAH an-Nuur yang bererti cahaya, mengandungi 64 ayat, diturunkan di
Madinah beberapa tahun selepas hijrah. Dalam surah ini terkandung
ayat dan petunjuk Allah bagi manusia yang berhubung dengan hidup
bermasyarakat, mahu pun berumah tangga. Semuanya, adalah cahaya yang
menyinari kehidupan manusia dalam menempuh jalan menuju kebahagiaan
dunia dan akhirat.


Allah memulakan surah ini dengan satu penegasan agak unik dan berbeza
dengan surah lain. Firman-Nya bermaksud: "(Ini adalah) satu surah
yang Kami turunkan dan Kami fardukan (menjalankan hukum yang ada
dalam)nya, dan Kami turunkan dalamnya ayat yang jelas, agar kamu
selalu mengingatinya." (Surah an-Nur, ayat 1)

Secara jelas dan tegas apa yang terkandung dalam surah ini diturunkan
oleh Allah dan diwajibkan ke atas semua umat Islam yang beriman
kepadaNya dan ayatNya, supaya menerima dan melaksanakannya tanpa ragu-
ragu atau berdolak dalik.

Penegasan seperti ini sangat penting. Ia adalah asas kukuh dalam hati
setiap Muslim agar bersedia mendengar, menerima dan seterusnya
melaksanakan apa saja yang tuntut oleh-Nya. Meragui dan mempersoalkan
hukum atau peraturan Allah tidak wujud sama sekali dalam hati orang
beriman. Ini sebagaimana dinyatakan dalam firman-Nya
bermaksud: "Sesungguhnya jawapan orang mukmin, apabila mereka
dipanggil kepada Allah dan rasul-Nya agar rasul menghukum (mengadili)
antara mereka ialah ucapan: "Kami mendengar dan kami patuh. Dan
mereka itulah orang yang beruntung." (Surah an-Nuur, ayat 51)

Masyarakat adalah himpunan manusia daripada lelaki dan wanita. Mereka
bukan saja saling memerlukan, malah difitrahkan mempunyai keinginan
yang kuat terhadap satu sama lain. Bagi memenuhi keinginan semula
jadi ini, Allah mensyariatkan perkahwinan dan menggesa pihak berkuasa
dalam sesebuah masyarakat atau keluarga memberikan perhatian
sewajarnya terhadap anggota yang belum berkahwin.

Firman Allah bermaksud: "Dan kahwinkanlah orang yang sendirian antara
kamu dan orang yang layak (berkahwin) daripada hamba sahayamu yang
lelaki dan hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah
akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha luas
pemberian-Nya lagi Maha Mengetahui." (Surah an-Nur, ayat 32)

Perkahwinan adalah satu-satunya jalan paling selamat dan terhormat
bagi memenuhi keinginan semula jadi manusia. Keinginan seksual adalah
wasilah atau jalan yang menghubungkan antara satu generasi dengan
generasi sebelum dan selepasnya. Lantaran, ia tidak boleh dipadam
atau diketepikan. Keinginan itu tidak boleh pula dibiar lepas bebas
tanpa batasan. Ini kerana keadaan sedemikian bukan saja akan
menjatuhkan martabat insan, malah boleh menghancurkan institusi
keluarga dan masyarakat seluruhnya.

Ayat di atas ditujukan kepada ketua keluarga serta pihak yang
berkuasa dalam sesebuah masyarakat. Mereka tidak sepatutnya
mengabaikan anggota yang belum mempunyai pasangan hidup yang sah.
Kemiskinan bukan suatu alasan untuk melambat-lambatkan urusan
perkahwinan. Jalan mesti dicari. Penyelesaian mesti diusahakan. Allah
sendiri memberi jaminan akan memudahkan rezeki orang yang ingin
berkahwin (Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan
kurnia-Nya).

Hubungan antara lelaki dengan perempuan yang lain daripada ikatan
perkahwinan dibataskan dengan adab serta panduan tertentu. Ini supaya
keutuhan keluarga yang dibina terpelihara, terselamat daripada fitnah
dan noda serta terhindar daripada jerangkap syaitan durjana.

"Katakanlah kepada lelaki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan
pandangan mereka dan memelihara kemaluan mereka; yang demikian itu
adalah lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa
yang mereka perbuat." (Surah an-Nur, ayat 30)

"Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan
pandangan mereka, dan memelihara kemaluan mereka, dan janganlah
mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali yang (biasa) nampak
daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dada
mereka..." (Surah an-Nur, ayat 31)

Lelaki dan wanita tidak dihalang daripada membabitkan diri dalam
masyarakat. Ini kerana mereka adalah sebahagian daripada masyarakat
yang bertanggungjawab membangun, memaju dan memeliharanya daripada
perkara yang boleh menjejaskan kesejahteraannya. Apa yang wajib
dilakukan ialah memelihara tiga perkara iaitu menjaga mata, kemaluan
dan aurat.

Hari ini, kesedaran memakai tudung di kalangan Muslimah laksana
gelombang besar yang tidak mampu dibendung oleh sesiapa lagi. Memakai
tudung saja tidak memadai. Mata hendaklah sentiasa dijaga kerana ia
adalah penggoda yang amat berbisa. Apabila mata bertentang mata, hati
mula berkata-kata, nafsu pun ikut bergelora, lantas iman terluntur
dan iblis segera menjalankan peranan.

Tidak cukup juga dengan kaum wanita saja yang bertudung litup,
menutup aurat dan menjaga maruah. Kaum lelaki juga seharusnya
melakukan perkara sama. Kaum lelaki wajib juga mematuhi adab
menundukkan pandangan dan kewajipan memelihara tiga perkara tadi.
Ayat itu tidak hanya ditujukan kepada wanita, bahkan menjadi
tanggungjawab lelaki dan wanita.

Kadang-kadang terdengar suara mengatakan menutup aurat juga tidak
selamat. Mungkin ada benarnya luahan itu. Ini kerana menutup aurat
mesti dilaksanakan secara bersepadu dengan memelihara pandangan serta
aturan lain yang terkandung dalam surah ini. Ia tidak boleh diambil
secara terpisah.

Perkara lain yang wajib dijauhi ialah memfitnah dan menyebarkan
keburukan serta kemungkaran. Firman Allah bermaksdu: "Dan orang yang
menuduh wanita yang baik-baik (melakukan zina) kemudian mereka tidak
mendatangkan empat orang saksi, maka sebatlah mereka (yang menuduh
itu) lapan puluh kali sebatan, dan janganlah kamu terima kesaksian
mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang yang fasik."
(Surah an-Nur, ayat 4)

Tidak dapat dinafikan bahawa fitnah atau tuduhan tanpa bukti
meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri seseorang sama ada dari
aspek kejiwaan atau kemasyarakatan. Kesan itu bukan saja dirasai oleh
orang yang dituduh, malah seluruh anggota keluarganya. Lantaran,
Islam melarang perbuatan menuduh tanpa saksi hingga hukuman yang
dikenakan ke atasnya hampir sama berat dengan hukuman ke atas orang
yang melakukan zina.

Penyebaran perbuatan keji juga laluan yang memudahkan anggota
masyarakat terjebak dalam kemaksiatan. Ini kerana sesuatu kemungkaran
itu, apabila disebarkan akan cepat merebak dan mendorong anggota lain
meniru perbuatan sama. Lantaran, tidak wajar disebarkan secara meluas
hanya sekadar untuk dijadikan bahan berita tanpa diiringi usaha
bersungguh-sungguh untuk membendungnya.

Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya orang yang suka agar (berita)
perbuatan keji itu tersebar di kalangan orang beriman, bagi mereka
azab yang pedih di dunia dan akhirat. Dan Allah mengetahui, sedangkan
kamu tidak mengetahui." (Surah an-Nuur, ayat 19)

Kesungguhan Islam memerangi kemungkaran, khususnya zina yang menjadi
punca runtuhnya institusi keluarga, tercemarnya zuriat dan
menimbulkan keresahan masyarakat, dijelaskan dalam firman-Nya
bermaksud :

"Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, maka sebatlah tiap-
tiap seorang daripada kedua-duanya seratus kali sebatan, dan
janganlah belas kasihan kepada kedua-duanya mencegah kamu untuk
(menjalankan) agama Allah, jika kamu beriman kepada Allah dan hari
akhirat. Dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh
sekumpulan orang beriman." (Surah an-Nur, ayat 2)

(PENULIS ialah pensyarah bidang syariah di Universiti Teknologi Mara,
Shah Alam, Selangor dan boleh dihubungi di wanitajim0@...
Perbincangan dan soal jawab berhubung artikel Wadah Wanita Islam yang
lalu boleh dilayari di http://www.blurty.com/users/wanitajim/ )

--- End forwarded message ---




--
Silakan, kunjungi website (blog) saya ini :
http://yahumairah.blogspot.com  &  http://yabunayya.blogspot.com