Salam,
Wanita JIM pahang menulis untuk Wadah Wanita Islam, Berita Harian
Wadah Wanita Islam: Bercerita kisah al-Quran bantu bentuk watak anak
Oleh Rosnah Ahmad
SETIAP kali sebelum tidur terngiang-ngiang suara dan terbayang-bayang
mimik muka arwah emak bercerita kepada kami lima beradik. Kami
berebut-rebut untuk duduk paling rapat dengan emak untuk mendengar
kisah dari al-Quran, cerita rakyat yang sarat dengan teladan dan
kesusahan hidup emak ketika penjajahan Jepun di Tanah Melayu.
Kami adik beradik tidak jemu-jemu mendengarnya walaupun berkali-kali
ceritanya diulang. Inilah kegiatan yang kami sukai pada musim
tengkujuh apabila tidak dapat bermain di luar rumah. Saat itu
mendamaikan jiwa dan masih menenangkan perasaan saya apabila
mengenangkan kembali nostalgia itu.
Kini, tradisi ini diteruskan kepada anak saya yang berusia lapan,
tujuh dan satu tahun. Mata mereka akan bersinar kegembiraan dan
kadang-kadang dahi berkerut kerana cuba memahami apa yang diceritakan.
Soalan mereka banyak sekali. Adik kecil yang baru berusia setahun
juga seperti mengerti dan sesekali cuba bertanya dengan mengeluarkan
bunyi yang belum difahami. Sangat susah untuk berhenti daripada
bercerita kerana permintaan anak banyak sekali. Ia kadang-kadang agak
meletihkan, tetapi kegembiraan anak dan ucapan sayang serta terima
kasih daripada mereka selepas selesai bercerita cukup menghiburkan.
Kanak-kanak dan cerita bagaikan tidak boleh dipisahkan. Peranan
cerita adalah besar dalam proses pendidikan sebuah generasi. Cerita
dapat membantu kanak-kanak memperkuatkan imaginasi, meningkatkan
pengalaman, mengembangkan penguasaan bahasa serta memberikan
pelajaran budi pekerti dan nilai murni melalui peristiwa yang
diungkap dalamnya. Ramai ibu bapa merungut apabila anak seperti tidak
mengendahkan kata-kata apabila cuba memberi nasihat atau
mendisiplinkan mereka dengan akhlak mulia.
Mereka kadang kala tidak menurut kata ibu bapa bukan kerana degil
tetapi tidak faham nasihat atau arahan yang diberikan. Contohnya,
kanak-kanak berusia lima tahun diberi nasihat supaya jangan
menderhaka kepada ibu bapa kerana perbuatan ini dimurkai Allah dan
berdosa. Perkataan menderhakamungkin biasa bagi kita, tetapi ia
adalah baru dan susah untuk mereka fahami.
Cara paling berkesan menerangkan maksud menderhakaadalah dengan
bercerita. Contohnya, kisah Si Tanggang yang derhaka kepada ibunya.
Anak akan lebih mudah memahami sesuatu perkataan apabila mereka dapat
mengaitkannya dengan cerita yang disampai atau dibacakan kepada
mereka.
Aktiviti bercerita juga dapat menyelesaikan banyak masalah emosi
anak. Contohnya, apabila menunggu kehadiran adik baru dalam keluarga,
anak biasanya mempunyai perasaan yang bercampur baur, gembira serta
sedikit gusar dan cemburu. Mereka khuatir perhatian dan kasih sayang
ibu bapa akan beralih kepada adik baru. Buku cerita mengenai adik
baru akan membuka ruang kepada anak untuk bertanya apa saja persoalan
yang bermain pada fikiran mereka. Ini dapat menolong meyakin dan
menyediakan mereka dari segi emosi untuk menyambut kehadiran adik
baru.
Zaman kian berubah, kini aktiviti bercerita banyak diambil alih oleh
cikgu sekolah, tadika, pengasuh taska, television dan komputer. Apa
pun ibu bapa harus memupuk minat dan mencari masa untuk bercerita
kepada anak. Bercerita adalah aktiviti masa berkualiti yang sangat
berkesan untuk mendekati anak dalam kesibukan ibu bapa sekarang.
Secara tidak langsung anak akan merasakan mereka diberi perhatian dan
dihargai.
Ada juga ibu bapa yang merasakan apabila anak pandai membaca, kerja
mereka semakin mudah kerana mereka mampu membaca sendiri cerita
kegemaran masing-masing. Mereka tidak perlu lagi bercerita.
Pakar pendidikan mengatakan bahawa ibu bapa masih perlu membacakan
cerita kepada kanak-kanak di bawah umur 12 tahun. Kanak-kanak pada
usia ini masih memerlukan panduan daripada ibu bapa untuk menerangkan
maksud perkataan yang tidak mereka fahami dan untuk memperjelaskan
mesej sebenar di sebalik cerita yang dibaca.
Islam sangat menggalakkan aktiviti bercerita. Al-Quran mengandungi
banyak kisah. Manusia memperoleh pelajaran berharga daripadanya.
Keunggulan al-Quran terbukti mendidik manusia dari generasi ke
generasi dan tiada tandingannya.
Kita diajak bercerita mengenai kisah nyata yang diceritakan Allah
dalam al-Quran seperti firman-Nya yang bermaksud: Maka ceritakanlah
kisah-kisah itu agar mereka berfikir.(Surah al-Araf, ayat 176)
Kisah Al-Quran sentiasa mengajar bahawa kebenaran akan melenyapkan
kebatilan. Ini dapat memberi kesan dalam diri anak bahawa orang yang
suka membuat dosa dan maksiat akan kecundang akhirnya. Perasaan ini
penting untuk membenihkan keimanan dan akhlak mulia anak sejak kecil
lagi.
Keagungan dan kebesaran Allah boleh disampaikan melalui cerita
mengenai kebaikan dan keindahan makhluk ciptaan Allah seperti haiwan,
serangga dan tumbuh-tumbuhan sesuai dengan fitrah anak-anak yang
sukakan haiwan dan tumbuh-tumbuhan.
Kisah Rasulullah, nabi, sahabat dan pahlawan Islam juga akan dapat
membantu anak-anak mencintai dan mencontohi sifat terpuji mereka.
Ibu bapa juga boleh mereka sendiri watak yang boleh disesuaikan
dengan mesej yang hendak disampaikan kepada anak-anak. Anak-anak saya
sudah mengenali watak Abuyang saya cipta. Ada banyak cerita mengenai
Abu seperti Abu balik kampung dan Abu dapat adik baru.
Cerita ini saya reka secara spontan ketika cuba menangani masalah
anak-anak. Ia banyak mengandungi unsur nasihat dan humor yang
disesuaikan dengan mesej dan nasihat yang hendak disampaikan. Cara
ini lebih berkesan kerana ego anak-anak tidak menjadi penghalang
mereka menerima nasihat berbanding menasihati mereka secara terus.
Banyak teknik bercerita yang boleh digunakan, termasuk bercerita
secara lisan, dengan bantuan buku cerita, kad bergambar dan patung.
Carilah cerita yang akan memberi manfaat dan mengandungi unsur humor
yang dapat menarik perhatian anak-anak.
Apabila bercerita secara lisan, gunakan nada suara dan mimik muka
yang sesuai supaya menarik perhatian, mudah difahami dan menyentuh
perasaan. Elakkan cerita yang terlampau susah untuk difahami dan
banyak mengandungi penafsiran yang belum mampu digarap oleh anak-
anak. Jadikanlah bercerita satu aktiviti keluarga yang menarik dan
disukai oleh mereka.
PENULIS adalah pengurus taman asuhan kanak-kanak dan boleh dihubungi
melalui wanitajim0@...
--- End forwarded message ---